Mari kita Berkawan

March 21, 2010

Hikmah penurunan ayat suci al-Quran

AL-QURAN adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad saw, pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawanya mengandungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup dan kehidupan sejagat. 

Firman Allah bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu adalah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan salah...” - (Surah al-Baqarah, ayat 185). 

Apakah al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan,’ asal kata qara’a. Kata al-Qur’an berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca).

Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti dalam ayat 17 dan 18, Surah al-Qiyaamah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan kami. Kerana itu jika kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikut bacaannya.” 

Kemudian dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini. 

Ada pun definisi al-Quran adalah: “Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah.’

Dengan definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula, Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran. 

Bagaimanakah al-Quran diwahyukan? Nabi menerima wahyu dengan pelbagai cara dan keadaan, antaranya: 


  •  Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. 

    Dalam hal ini, Nabi Muhammad tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya. - (Surah Asy Syuura, ayat 51).



  •  Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yangmengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu. 



  •  Wahyu datang kepadanya seperti gemerincingnya loceng. 

    Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang teruk. 

    Ada kalanya, unta yang Baginda tunggang terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun. 



  •  Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini disebut dalam ayat 13 dan 14 Surah an-Najm. 

    Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. 

    Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu adalah: 



  •  Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya ia diturunkan sekali gus secara banyak. Hal ini disebutkan oleh Bukhari dan riwayat Aisyah. 



  •  Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan permasalahan pada waktu itu. Perkara ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh). 



  •  Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati. 



  •  Memudahkan penghafalan. 

    Orang musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran ayat 32, Surah al-Furqan. “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” 

    Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” 




  •  Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan. Perkara ini seperti dikatakan oleh lbnu ‘Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekali gus.

  • No comments:

    Post a Comment

    HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

    Video bacaan Al Quran

    fb

    Total Pageviews

    Ingatlah kata kata ku

    Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
    "...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

    Kata kata Ku

    Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
    Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
    "Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

    TRAFFIC

    Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

    Assalammualaikum