Mari kita Berkawan

February 26, 2011

Aku tak sembahyang tetapi aku berjaya...


MESTI BACA!!!Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.

Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.




Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.



Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.




Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.

Resah seorang AYAH

Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!
Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.
Acapkali duri berselindung di sebalik bunga… lalu kita yang tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yang ikhlas dan lembut kekadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus  dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yang sedia terhunus.
Namun inilah hakikat, tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama ini bertahta akan terhenyak dan mendapat pembalasan.
Namun, jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya ‘escapisme’ . Bila kecewa dengan manusia, orang ‘lari’ kepada Tuhan, bila tidak dapat meraih dunia orang mula merindui akhirat, bila terlepas kenikmatan nafsu baru ada yang merintih syurga itu ada!
Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan Hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ‘etheis’ dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang ‘mencipta’ Tuhan demi ketenangan.
Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan siapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!
Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan… kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah… tetapi semua itu adalah ‘bayaran tol’ di lebuh raya mujahadah.
Ya Allah, ampunkanlah kami. Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMu kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujian-Mu.
Ya Allah, cuma satu… cuma satu… janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufik Mu!
Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar… walau apa jua keadaan dan cabarannya! Amin.
(Buat sahabat/saudara ku… marilah kita renung tulisan yang sederhana i
ni: RESAH SEORANG AYAH…)
Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu  teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap  dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara…

Akhirnya Yusuf ternama. Mimpinya mencatur ekonomi. Siasahnya menyelamatkan negara.  Akhirnya Yusuf pulang ke Yaa’qub. Pertemuan kedua itu sudah termaktub.

Sudah beberapa dekad pula kita genggam  anugerah itu.  Kita cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya kita tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi ada masanya  kita terjatuh. Kita dilanggar dan dirempuh.

Taufan kehidupan ini tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, kita harungi jua badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan. Kehadiran putera dan puteri kita adalah  kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa  kekadang sepantas  igauan.

Ah, rasanya baru semalam, kita panggil anak. Tapi hari ini, sudah bergelar ayah. Dulu, kita dibelai dan dimanja. Namun kini  kita adalah “retua” yang telah dipagut usia. Ah, sedar-sedar sudah putih rambut di kepala. Sudah berkedut garis  di muka. Usia  sudah diambang senja… mentari hidup kian redup. Sudah hampir ke episod penutup.

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu… terlalu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain  hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi   ujian.

Masih kita ingat detik kelahiran mereka. Seorang demi seorang. Bersama isteri di sisi, kita nikmati tangisan pertamanya. Lalu kita azan di telinga kanan, iqamat di telinga kiri. Kita ukirkan kalimah tauhid di kanvas hatinya yang suci. Itulah bekal utama,  jati dirinya yang pertama. Dan maktub sudah  janji insan di sisi Tuhan. Anak, kau hamba Allah dan khalifah. Nya. Dan aku adalah ayahmu,  pemegang amanah safarmu yang fana.

Lalu bermulalah kembara anak di alam dunia. Kembara ini terasa panjang bagi mereka yang alpa, lalu masa terbuang sia-sia. Kembara ini terasa begitu pendek bagi mereka yang cerdik, masa akan  terisi dengan  baik.

Kenalkan dahulu anak kepada Tuhan. Katakan Tuhan itu Ada, Esa, Agung dan Perkasa. Lihat awan dan bulan… itu semua Tuhan jadikan. Nun, di sana burung dan ikan… Tuhan yang memberinya makan. Kalau di satu ketika anak bertanya, “ayah kenapa jerebu begini?” Katakan, “Tuhan ingatkan kita supaya  menghargai nikmat mentari.”

Walaupun masih di tahap fikrah terendah, anak mesti diajar mentauhidkan Allah. Kuasa hafalannya, terokailah. Kecepatan menirunya, eksploitasilah. Semuanya menuju satu. Segala terjurus lurus.  Awaluddin Makrifatullah – awal agama mengenal Allah.

Lepaskanlah anak ke persada buana. Jangan dikurung, nanti mereka pemurung. Biar mereka hirup udara kebebasan dan kemerdekaan.  Namun awasi langkah dan teliti tingkahnya. Bekalkan ilmu buat mereka menyuluh. Agar mereka tahu menilai pahala. Arif mengenal dosa. Selalulah berdamping dengannya. Dengarkan luahan katanya yang tersurat. Fahamilah isyarat dalamannya yang tersirat.

Kekadang mereka malu hendak menjelaskan, kitalah yang patut dahulu mentafsirkan. Adakalanya mereka bertanya dalam bercerita. Pandai-pandailah kita menjawabnya dalam selamba. Istiqamahkan didikan, berilah pimpinan. Sesungguhnya tugas ini sulit sekali, justeru kitapun selalu tersasar. Sering juga kita melakukan yang mungkar. Namun itu bukan alasan untuk menyerah kalah. Jadilah seorang ayah… yang selalu bermujahadah.

Ah, esok anak-anak kita pula akan menjadi ayah. Bagaimana ya? Aduuh… resah lagi.  Semoga kita terus memiliki hati seresah Ya’aqub. Agar  anak-anak  menjadi setabah Yusuf . Dan semuga kisah itu akan tetap agung, terus bersambung… kisah resah seorang ayah. Pesan kepada anak kita… sayangilah keluarga kerana di sana ada sumur cinta yang setia sampai bila-bila!

SAYANGI KELUARGA
Bahagia seluruh semesta
bermula dari sebuah keluarga
dari titis susu ibu tersayang
terbinalah sungai kasih yang panjang
Tumbuh dari keringat ayah
kita perah pengorbanannya yang melimpah
air matanya mengalir di darah kita
membina semangat dan cita-cita
Rentaslah seribu lautan
kembaralah di serata benua
tak kan kau temui semurni cinta
semurni cinta keluarga
Bila langkah remajamu ditusuk sembilu
kembara dewasamu diamuk nafsu
kenanglah pesan ibu
ingatlah madah ayah:
Kembalilah ke jalan Allah

Kelebihan orang alim


Rasulullah SAW bersabda, "Keutamaan seorang alim(berilmu) atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain" (HR Tirmidzi)

Baca ayat kursi selepas solat


“Sesiapa membaca ayat kursi setelah setiap solat fardu, tidak ada yang menghalangnya dari masuk syurga selain kematian.” (HR ath-Thabrani no.7532 disahihkan oleh al-Albani)..

Baca ayat kursi sebelum tidur

abi SAW bersabda: "Apabila kamu masuk ke tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi 'Allahu La Ilaha Illa Huwal Hayyul Qayyum', sehingga habis ayat ini. Maka sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah untuk kamu, dan syaitan tidak akan dapat mendekati kamu sehingga pagi". (HR Bukhari)


Terjemahan :
Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekelian makhlukNya. Yang tidak mengantukdan tidak tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi pertolongan melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya). (al-Baqarah ayat 255)
*

Tundukkan pandangan


Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". 

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya". (Surah an-Nur ayat 30-31)

Wanita yang tidak halal jangan disentuh


Nabi pernah bersabda, “Andaikata kepala salah seorang dari kalian ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya”. (HR. Ar-Ruyany dalam Musnadnya no.1282, Ath-Thobrany 20/no. 486-487 dan Al-Baihaqy dalam Syu’abul Iman no. 4544 dan dishohihkan oleh syeikh Al-Albany dalam Ash-Shohihah no. 226)

Jangan cari salah orang ya

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah dari buruk sangka kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaramu yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."[Surah Al-Hujurat ayat 12]

Banyakkan selawat pada hari Jumaat


Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (Riwayat Al Baihaqi)

Jalan yang LURUS


‎"Tunjuklah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau murkai, dan bukan jalan orang yang sesat." (Al-Fatihah 6-7)

Doa bila hujan turun



Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat. (HR Bukhari).

Dalam riwayat Sunan Ibnu Majah, Nabi saw mengucapkan sebanyak dua atau tiga kali. 

Nama isteri Rasullulah SAW dan anak2 nya


Isteri-isteri Rasulullah :

Khadijah binti Khuwailid r.a.
Saudah binti Zum'ah r.a.
Aisyah binti Abu Bakar r.a.
Hafsah binti Omar Al-Khattab r.a.
Zainab bin Jahsyin r.a.
Zainab binti Khuzaimah r.a.
Ummu Salamah (Hindon binti Abi Umaiyah) r.a.
Ummu Habibah (Ramlah binti Abi Sufian) r.a.
Juwairiyah binti Al-Harith r.a.
Maimunah binti Al-Harith
Safiah binti Hoiyi bin Ahtab r.a.
Mariyah Al-Qibtiyah

Hanya seorang sahaja isteri Rasulullah yang gadis ketika berkahwin dengan baginda iaitu Aisyah binti Abu Bakar Al-Siddiq.
Manakala yang lainnya adalah janda atau balu yang kematian suami.

Anak-anak Rasulullah dengan Khadijah :
Al-Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummu Kalthum
Fatimah

Anak Rasulullah dengan Mariyah Al-Qibtiyah :
Ibrahim


Dipetik dari buku soal jawab berkaitan Rasullulah oleh Hj Ahmad bin Haji Awang.

Contoh yang baik adalah

Maksudnya, "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan ALLAH dan balasan baik hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (al-Ahzab: 21).

Menghayati kehebatan Rasullah SAW

Kewajipan Mentakzim Rasulullah SAW
Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36): Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.

Kata Abu Ibrahim al-Tujibi: Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).

Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW

Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya: “Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.

Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah: Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.


Sumber: http://sawanih.blogspot.com/2010/02/menghayati-kehebatan-rasulullah-saw.html

Banyakkan Selawat


Rasulullah s.a.w. bersabda: Seutama-utama manusia bagiku pada hari kiamat ialah orang yang terbanyak bacaan selawat padaku, yakni lebih diutamakan oleh beliau s.a.w untuk dapat memperoleh syafaatnya dan dapat kedudukan yang terdekat dengannya. (Diriwayatkan oleh At Termidzi)

HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

Video bacaan Al Quran

fb

Total Pageviews

Ingatlah kata kata ku

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
"...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

Kata kata Ku

Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

TRAFFIC

Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

Assalammualaikum