Mari kita Berkawan

March 5, 2010

10 Permintaan Iblis

Berikut adalah bahagian akhir jawapan makhluk laknat kepada setiap soalan baginda Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada iblis berapa yang dimintanya daripada Allah SWT. Iblis menjawab 10 perkara lantas baginda bertanyakan apakah perkara berkenaan.

Makhluk laknat itu menjawab: “Aku minta agar Allah SWT membiarkanku berbagi dalam harta dan anak manusia, Dia mengizinkan.”

Dalam surah Al-Israa' [QS - 17:61] diriwayatkan, ketika Allah SWT berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"

[17:62] Dia (iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil."

[17:63] Tuhan berfirman: "Pergilah, barang siapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahanam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.

Allah SWT berfirman, “Berbagilah dengan manusia dalam harta dan anak dan janji mereka tidaklah janji syaitan kecuali tipu daya.” (Surah Al-Israa', ayat 64).

“Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba. Aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah SWT.”

“Aku minta supaya Allah SWT membiarkan aku ikut bersama dengan orang yang berhubungan dengan isterinya tanpa berlindung dengan-Nya maka syaitan ikut bersamanya dan anak yang dilahirkan akan sangat patuh kepada syaitan.”

“Aku minta supaya boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan yang halal.”

“Aku minta supaya Allah SWT menjadikan kamar mandi sebagai rumahku, pasar sebagai masjidku, syair sebagai Quranku, pemabuk sebagai teman tidurku dan memberikan aku saudara maka Allah SWT jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku,” terang Iblis kepada Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman: “Orang-orang boros adalah saudara-saudara syaitan.” (Surah Al-Israa' [017], ayat 27).

Iblis kemudiannya berkata: “Wahai Muhammad, aku minta supaya Allah SWT membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku.”

“Dan aku minta supaya Allah SWT memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia.” katanya. Permintaan Iblis itu diperkenankan Allah SWT yang menjawab: “Silakan.” Iblis memaklumkan dia bangga dengan hal itu kerana sehingga hari kiamat, sebahagian besar manusia bersamanya di hari penentuan berkenaan.

Iblis lalu terus berkata: “Wahai Muhammad, aku tidak boleh menyesatkan orang sedikit pun. Aku hanya boleh membisikkan dan menggoda.”

“Jika aku boleh menyesatkan, tidak akan tersisa seorang pun yang beriman. Sebagaimana dirimu, kamu tidak boleh memberi hidayah sedikit pun.”

“Engkau hanya rasul yang menyampaikan amanah. Jika kau boleh memberi hidayah, tidak akan ada seorang kafir pun di muka bumi ini. Kau hanya boleh menjadi penyebab untuk orang yang telah ditentukan sengsara.”

“Orang yang bahagia adalah orang yang sudah ditulis bahagia sejak di perut ibunya dan orang yang sengsara adalah orang yang sudah ditulis sengsara sejak dalam kandungan ibunya,” katanya.

Rasulullah SAW lalu membaca ayat yang bermaksud: “Mereka akan terus berselisih kecuali orang yang dirahmati oleh Allah SWT.” Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118 - 119, yang bermaksud, "Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang durhaka) semuanya."

Baginda juga membaca ayat bermaksud: “Tidak ada suatu keberatan pun atas Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah-Nya pada nabi-nabi yang telah berlalu dahulu. Sesungguhnya ketentuan Allah SWT pasti berlaku.” (Surah Al-Ahzab [33], ayat 38).

Iblis lalu berkata: “Wahai Rasul Allah, takdir sudah ditentukan dan pena takdir sudah kering. Maha suci Allah yang menjadikanmu pemimpin para nabi dan rasul, pemimpin penduduk syurga dan yang sudah menjadikan aku pemimpin makhluk celaka serta penduduk neraka.”

“Aku si celaka yang terusir. Ini yang terakhir yang ingin aku sampaikan kepadamu dan aku tidak berbohong," luah iblis laknat

70,000 anak bantu iblis

IBLIS yang dilaknat Allah SWT akan melakukan pelbagai cara untuk menggoda umat Nabi Muhammad SAW ke arah kelalaian dan pelbagai perkara maksiat lain.

Makhluk laknat terbabit pernah bertamu kepada Rasulullah SAW selepas diarah berbuat demikian oleh Allah SWT bagi menjawab setiap persoalan ditanyakan baginda.

Berikut adalah sambungan pertanyaan dan jawapan diberikan Iblis:

Rasulullah SAW lalu bersabda, “Segala puji bagi Allah SWT yang membahagiakan umatku dan menyengsarakanmu.”

Iblis segera menyampuk: “Tidak, tidak. Tidak akan ada kebahagiaan selama aku hidup sehingga hari akhir. Bagaimana kau boleh berbahagia dengan umatmu sementara aku boleh masuk ke dalam aliran darah mereka dan mereka tidak boleh melihatku. Demi yang menciptakan diriku dan memberiku kesempatan sehingga hari akhir, aku akan menyesatkan mereka semua. Baik yang bodoh atau yang pintar, yang boleh membaca dan tidak boleh membaca, yang durjana dan yang soleh kecuali hamba Allah SWT yang ikhlas.”

Rasulullah terus bertanya Iblis siapa yang ikhlas menurut makhluk laknat terbabit dan dijawab: “Tidakkah kau tahu, wahai Muhammad, bahawa barang siapa yang menyukai emas dan perak, ia bukan orang yang ikhlas.”

“Jika kau lihat seseorang yang tidak menyukai dinar dan dirham, tidak suka pujian dan sanjungan, aku boleh pastikan bahawa ia orang yang ikhlas, maka aku meninggalkannya.”

“Selama seorang hamba masih menyukai harta dan sanjungan dan hatinya selalu terikat dengan kesenangan dunia, ia sangat patuh padaku.”

“Tahukah kamu Muhammad, aku mempunyai 70,000 anak dan setiap anak memiliki 70,000 syaitan?”

“Sebahagian ada yang aku tugaskan untuk mengganggu ulama. Sebahagian untuk mengganggu anak muda, sebahagian untuk mengganggu orang tua, sebahagian untuk mengganggu wanita tua, sebahagian anakku juga aku tugaskan kepada para Zahid.”

“Aku punya anak yang suka kencing di telinga manusia sehingga ia tidur pada solat berjemaah. Tanpanya, manusia tidak akan mengantuk pada waktu solat berjemaah.”

“Aku punya anak yang suka menaburkan sesuatu di mata orang yang mendengarkan ceramah ulama hingga mereka tertidur dan pahalanya terhapus.”

“Aku punya anak yang senang ada di lidah manusia. Jika seseorang melakukan kebajikan lalu ia hebohkan kepada manusia, maka 99% pahalanya akan terhapus.”

“Pada setiap seorang wanita yang berjalan, anakku dan syaitan duduk di pinggul dan pahanya lalu menghiasinya supaya setiap orang memandangnya. Syaitan juga berkata, ‘Keluarkan tanganmu’, lalu ia mengeluarkan tangannya lalu syaitan menghiasi kukunya.”

“Mereka (anak-anakku) selalu menyusuri dan berubah dari satu keadaan ke keadaan lain serta daripada satu pintu ke pintu lain untuk menggoda manusia hingga mereka terhempas daripada keikhlasan mereka.

“Akhirnya mereka menyembah Allah tanpa ikhlas, namun mereka tidak merasa.”

“Tahukah kamu Muhammad bahawa ada rahib yang beribadat kepada Allah selama 70 tahun. Setiap orang sakit yang didoakan olehnya, sembuh seketika. Aku terus menggodanya hingga dia berzina, membunuh dan kufur,” terang Iblis kepada Rasulullah SAW.

Penipuan Iblis di syurga

IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.

Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Hadith Rasulullah SAW menerangkan yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang di dalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang ditakuti seperti, harimau, singa, ular dan kala yang berbisa. Maka apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”

Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulama-ulama yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”

Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”

Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.”

Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena.

Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.”

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Iblis: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”

Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini, Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Bersesuaian dengan sebuah hadis yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: 'Laailaahaillallaah' .”

Strategi syaitan profesional


SYAITAN ialah musuh sejati, bukannya teman sejati. Ia tidak boleh dibuat kawan, sebaliknya kena dibuat lawan. Jika hendak bermusuh dengan syaitan, kita mesti mengetahui teknik serta sepak terajang syaitan dan konconya yang begitu taktikal, sebab tugas mereka sangat profesional menggoda dan menyesatkan manusia.

Pertemuan kali ini kita ingin melihat strategi syaitan dengan pelbagai cara supaya dengan mengetahuinya kita boleh menghindari diri dan terhindar daripada godaan mereka.

Antara strategi syaitan ialah:

1. Suka orang berada dalam keraguan. Ketika anda menghadapi masalah dan ragu-ragu untuk membuat keputusan, pada saat kebimbangan itulah syaitan mengganggu dan menggoda, mengarah anda untuk memilih itu dan membuat ini.

Sudah tentu pilihan syaitan itu ke arah keburukan, jauh dari kebaikan. Malah, jika pilihan baik sekalipun, mereka akan mengalih orientasi dan matlamat supaya berakhir dengan keburukan. Antaranya, melakukan sesuatu bukan kerana Allah, sebaliknya untuk mengejar glamor dan pangkat. Oleh kerana bimbang gangguan syaitan ini, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Tinggalkan yang meragukan, ambillah yang menyakinkan."

Ini dikatakan 'believe system' (sistem keyakinan diri). Apabila ada keyakinan, hilang keraguan dan apabila hilang keraguan tertutup peluang syaitan untuk menggoda manusia. Sebab itu prinsip Islam bermula dengan keyakinan, yang bernama iman iaitu beriman kepada perkara ghaib, dosa pahala, hari akhirat dan sebagainya. Tetapi apabila rosak iman, rosaklah segala-galanya.

2. Syaitan suka orang kuat ibadat tetapi tidak ada ilmu. Beribadat dan beramal mesti berasaskan ilmu sebagai imam, manakala amal sebagai makmum untuk menewaskan syaitan.

Keinginan untuk belajar tidak boleh berhenti. Sesiapa yang berasa cukup dengan ilmu yang sudah ada atau sudah rasa pandai sebenarnya dia sedang memberikan peluang dan ruang kepada syaitan menguasai dirinya.

Islam bermusuh dengan kebodohan. Sebab itu ayat pertama diturunkan pada Nabi SAW dalam surah al-'Alaq ialah menyuruh nabi membaca, "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."

Suruhan itu bukan sekadar membaca buku dan kitab tetapi membaca fakta, data dan tanda kebesaran Allah di dalam al-Quran. Dengan membaca bererti semakin banyak kita membuka jendela ilmu serta semakin sempitlah peluang syaitan untuk melakukan tipu daya dan mengelecek manusia.

3. Syaitan menyesatkan orang yang tidak ikhlas. Sebab itulah ibadat mesti dengan ikhlas, cari ilmu dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, malah berjuang dengan ikhlas. Ikhlas bermakna melakukan sesuatu kerana Allah dan berasa bersama dengan Allah.

4. Syaitan sangat suka orang sombong diri. Sebaliknya syaitan akan menjauhkan diri daripada orang merendah diri.

Islam menggesa umatnya menjadi orang terunggul dan terhebat, tetapi jangan sampai menjadi seperti Firaun dan Namrud yang sanggup melawan 'Taukeh' (Tuhan).

5. Syaitan ‘auta’nya sangat hebat. Bagi yang solat jemaah di masjid, syaitan tidak berkata, “tak payah solat.” Dia bisik, “masbukpun tak apa, dapat juga jemaah.” Kalau dah masbuk nanti, “boleh tepuk bahu orang lain, dapat juga jemaah.” Nanti dah tak dapat tepuk bahu orang, “dapat juga solat di masjid, lagi baik dari rumah. Orang lain solat di rumah.” Nanti “kalau solat seorang di masjid baik buat di rumah saja, maghrib dan isyak barulah masjid.” atau “waktu kerja ni, maghrib dan isyak di rumah pun boleh, nanti dah pencen barulah full di masjid” …. dan seumpamanya. Kalau kita solat di masjid jemaah (lelaki) dengan solat nafilahnya banyaklah buffer dan benteng pertahanan. Tembus satu benteng ada benteng lain, cepat sedar dan perbaiki diri. Syaitan tembak dari jauh!

6. Lihat sejarah silam permulaan manusia, pada asalnya menyembah patung. Anak Nabi Adam, pada zaman mereka, masih belum sembah patung. Mereka percaya sangat Allah beri rezeki. Iblis tak hasut anak Nabi Adam sembah patung. Malangnya, generasi selepas mereka, syaitan mula menghasut dengan usul membuat patung, untuk memperingati nenek moyang yang soleh atau dijadikan sebagai teladan. Di zaman Nabi Nuh a.s., patung telah disembah sebagai Tuhan. Lihatlah bagaimana iblis/syaitan memainkan fikirkan manusia. Iblis dan tenteranya sabar, berstrategi demi sumpah mereka, iaitu menyesatkan manusia. Iblis sanggup merayu, "Ya Tuhanku" agar diberi umur panjang demi melihat anak-anak Adam tersungkur.

Dalam surah Yaasiiiin ayat 60, yang bermaksud, “…Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu……” Dalam ayat ini, memang jelas Allah memperingatkan kita, jangan tunduk kepada syaitan kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata. Kita berhadapan dengan syaitan yang ghaib (tak nampak) dan syaitan yang nyata (nampak). Justeru itu hanya ilmu, iman dan taqwa dapat menghindarkan kita dari pujukan / tarikan syaitan.

Kesimpulannya kata kunci untuk melawan syaitan dengan empat huruf, iaitu 'BEST'.

B merujuk kepada 'believe in Allah' (beriman kepada Allah),
E ialah 'Eager to learn' (gigih untuk belajar sampai mati),
S ialah 'sincerity' (melakukan kerja dengan ikhlas) dan
T ialah 'towards excellence' (menggapai keunggulan).

Cuma satu hal, apabila sudah berjaya jangan sombong diri, nanti makan diri!

Renung-renungkan, dan selamat beramal!

HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

Video bacaan Al Quran

fb

Total Pageviews

Ingatlah kata kata ku

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
"...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

Kata kata Ku

Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

TRAFFIC

Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

Assalammualaikum