Mari kita Berkawan

July 31, 2010

Manusia Tidak Akan Berakhir Dengan Kematian

Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bagaimana kamu menjadi kufur terhadap Allah sedangkan kamu bermula dari mati (tiada) kemudian Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudia kepada-Nya kamu dikembalikan.” (al-Baqarah: 28)

Setiap minit itu menyatakan perjalanan riwayat manusia yang perlu direnung dan difahami sedalam-dalamnya supaya kita menyedari betapa besarnya kurniaan Allah SWT dan betapa beratnya tanggungjawab kita di hadapan Allah SWT. Ianya bermula daripada mati (tidak ada apa-apa) kemudian Allah menjadikan bumi dan segala bahan di atasnya terdiri daripada tanah yang berbagai-bagai jenis.

Tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam, jenis strukturnya terdiri daripada sesuatu yang boleh melahirkan berbagai-bagai makhluk, di antaranya manusia.

Allah SWT memulakan dengan mencipta Nabi Adam AS. Begitulah kisah bukan seperti teori Darwin, seorang Yahudi yang merendahkan martabat manusia yang meletakkan manusia kepada kebinatangan kemudian memecah alam pemikiran akal sebagai seorang manusia. Islam telah menetapkan bahawa pencipta manusia ialah Allah SWT.

Allah memulakan ciptaan Nabi Adam AS daripada tanah. Kemudian dijadikan isterinya Hawa daripada diri Nabi Adam As iaitu daripada tulang rusuknya. Dan untuk menyatakan kekuasaannya, Allah mencipta Nabi Isa AS daripada ibu yang tidak ada bapa yang tidak ada persetubuhan di antara lelaki dan perempuan demi menegaskan betapa Maha Berkuasanya Allah SWT.

Kemudian Allah menjadi manusia daripada benih-benih yang diletakkan ke dalam ibu bapa mereka yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan dan benih itu terlalu banyak. Oleh kerana itu, Allah menghargai diri manusia dan nyawa mereka dengan harga yang mahal. Seseorang yang melakukan pembunuhan dianggap berdosa besar selepas syirik, menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Allah SWT menyebut di dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah telah memutuskan hukum kepada Bani Israil, sesiapa yang membunuh satu nyawa seolah-olah ia membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa seolah-olah ia menyelamatkan manusia seluruhnya.” (al-Maidah: 32)

Manusia tidak boleh mengadakan dirinya dengan sendiri. Mesti Ada Tuhan yang menciptanya. Tuhan yang menjadikannya. Begitulah mengikut akal yang waras dan bijaksana yang disuluh oleh cahaya petunjuk daripada Allah SWT melalui nabi-nabi dan rasul-rasul AS yang wajib bersifat benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana yang tidak gentar dalam menegakkan agama Allah SWT.

Allah yang menghidupkan kamu dan menjadi tanda kekuasaan Allah. Kita melihat tanda kebesaran sesuatu kerajaan itu ialah rakyat, petugas-petugas, pegawai-pegawai, undang-undang dan peraturan yang dilaksanakan sedangkan kerajaan Allah pula tiada bandingan dan tandingannya.

Di antara tanda ketuhanan Allah ialah manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, yang menjadi sebahagian daripada makhluk ciptaan Allah yang mempunyai peranan dan tugas yang tersendiri dan mesti difahami oleh manusia.

Menjadi hikmat yang sangat besar, setiap orang Islam dan beriman diwajibkan menyebut pada tiap-tiap rakaat sembahyang:

“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam.” (al-Fatihah: 2)

Perkataan “Rab” dalam ayat ini bermakna yang mencipta dan mentadbir. Bukan sahaja mentadbir tetapi mencipta , mentadbir dan mengurus seluruh alam. Di antara cara pengurusan itu ialah dengan undang-undang dan peraturan. Manusia yang menjadi sebahagian dari makhluk dikurniakan kepada mereka undang-undang dan peraturan yang dinamakan ad-Deen yang terkandung di dalamnya kepercayaan hati, hukum syariah, perangai dan akhlak.

Semua peraturan yang ditetapkan oleh Allah dan makhluknya mengandungi rahmat dan kurnia yang tidak terhingga termasuk perkara agama yang diwajibkan kepada manusia adalah kurnia daripada Rahmat Allah, kasihan belas dan sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Walau bagaimana kita merasa susah sekalipun perkara yang ditetapkan oleh Allah adalah kebaikan kepada manusia. Perkara yang dilarang oleh Allah adalah mudharat. Menunaikan kebajikan untuk patuh kepada perintah Allah meninggalkan larangannya adalah satu tanggungjawab mengabdikan diri kepada-Nya yang menjadi ciri penting dalam penciptaan manusia dan kehidupan mereka atas muka bumi ini.

Ini satu kemuliaan yang diberi oleh Allah kepada manusia. Mereka mentadbir makhluk yang lain yang ada di bumi ini. Walaupun makhluk itu lebih keras, berat, gagah dan kuat daripada manusia.

Kita melihat bagaimana manusia boleh mengendalikan jentera yang besar dan berat. Seorang manusiaboleh menjinakkan binatang, menternak, mentadbir tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman.

Makhluk-makhluk yang lain yang ada di sekitar bumi ini ditadbir oleh manusia dengan suatu tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Bagi memelihara keunggulan yang wujud di alam ini, sebarang tindakan yang dilakukan bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan oleh Allah akan merosakkan dunia dan merosakkan diri manusia sendiri.

Bukan sahaja perkara-perkara haram membawa penyakit kepada diri manusia bahkan perkara-perkara haram itu memusnah dan mengorbankan alam sekitar yang lain. Kita melihat hari ini merebaknya pelbagai jenis penyakit yang menimpa jasad manusia bermula dari penyakit sosial kerana mereka melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Bukan sahaja dalam konteks individu bahkan dalam konteks masyarakat. Bukan sahaja dengan masyarakat sekampung dan senegara bahkan masyarakat sedunia.

Kita melihat manusia yang bijak itu ada di kalangan mereka yang meninggalkan hukum Allah.

Itu lebih ganas dari binatang yang buas, mencipta senjata-senjata yang boleh membunuh berjuta manusia dalam sekelip mata. Kerana tamak haloba, manusia sanggup melakukan kemusnahan sehingga berlakunya perubahan alam berpunca dari lapisan ozon dan sebagainya yang mempengaruhi alam sekitar bukan sahaja penyakit yang melanda diri bahkan penyakit yang melanda alan sekitar.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Telah nyata keburukan di darat dan di laut hasil kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran yang dinyatakan oleh Allah.” (ar-Rum: 41)

Manusia hendaklah menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab di atas muka bumi dan tidak ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan seluruh hidup mereka tidak diciptakan begitu sahaja.

Manusia hendaklah menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab di atas muka bumi dan tidak ditinggalkan begitu sahaja. Bahkan seluruh hidup mereka tidak diciptakan begitu sahaja.

Tiap-tiap manusia akan dimatikan oleh Allah. Bagaimana lanjutnya usia sekalipun, walau bagaimana banyak do’a sekalipuntermasuk nabi-nabi dan rasul-rasul AS, manusia yang paling dicintai oleh Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Tiadalah Muhammad itu melainkan seorang rasul, telah berlalu sebelumnya rasul dari yang lain yang telah mati.” (Ali-Imran: 144)

Ayat ini dibaca oleh Abu Bakar As-Siddiq RA ketika para sahabat dalam kesedihan menerima kewafatan Rasulullah SAW.

Tiap-tiap orang ada ajalnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada ajalnya.” (al-A’raaf: 34)

Di sana ada bangsa yang sudah hilang riwayatnya. Bangsa Sam dan keturunan Yusya’ bin Nun AS.

Zaman dahulu berbagai-bagai bangsa yang sudah tamat riwayatnya. Begitu juga bangsa yang ada pada hari ini. Terpulang kepada kita sama ada sama ada kita masih mahu menggunapakai pepatah Hang Tuah “Takkan hilang melayu di dunia” atau tidak. Seterusnya hubungan kita dengan diri, keluarga dan masyarakat akan tetap dibicarakan di hadapan Allah SWT. Terpulanglah kepada manusia untuk patuh kepada undang-undang Allah, untuk percaya atau tidak. Semua manusia akan dimatikan oleh Allah SWT. Selepas mati mereka akan berdepan dengan alam barzakh, alam kubur yang lebih panjang dari alam hidup di dunia ini, Mungkin kita melupai kepada mereka yang telah dikebumikan ke dalam kubur itu lebih lama dan berada di dalam kehidupan.

Ada yang sudah mati beberapa ribu tahun padahal umur dalam kehidupan dunia lebih pendek daripada daripada itu. Di sana terdapat fitnah dan ujian sebelum kita berhadapan dengan alam akhirat. Allah SWT telah menunjukkan kepada kita agar kita mengambil iktibar dari alam barzakh melalui tidur yang ada dalam diri masing-masing.

Tidur adalah sebahagian daripada mati, agar kita mengambil contoh dan tauladan setelah kita bangun daripada tidur disunatkan kita membaca do’a kepada Allah yang bermaksud:

“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia mematikan kami kemudian kami bertebaran kepada-Nya.”

Dalam kehidupan, apabila bangun daripada tidur, selepas membersihkan diri, kita akan berselerak ke sana sini menjalankan kerja masing-masing. Tetapi hidup selepas mati, manusia akan dihimpunkan di padang mahsyar. Sesungguhnya kematian itu adalah benar dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun.

Begitulah ujian yang dihadapi oleh manusia ketika menghadapi kematian, yang menjadi teman ialah apa yang dilakukan di alam dunia ini. Iman dam amal yang soleh, sebaik seseorang itu meninggal, yang paling dahulu berpisah dengannya ialah harta, kecuali kain kafan dan peralatan untuk mengebumikan mayat itu sahaja.

Semua harta yang lain putus hubungan kecuali beberapa perkara yang diperuntukkan oleh Allah SWT seperti sedekah jariah, anak yang soleh, dan ilmu yang diambil manfaat. Selain itu, semuanya terputus hubungan dengannya.

Setelah mayat dikebumikan, semua yang mengiringi jenazah akan kembali ke rumah masing-masing. Tinggallah si mati itu, seorang diri di dalam kubur. Yang terus bersama dengannya hanyalah iman dan amal yang soleh. Inilah persediaan untuk simati.

Di alam barzakh, simati akan dipersoalkan oleh para malaikat tentang apa yang dilakukan olehnya dalam kehidupannya di dunia sebelum ini.

Fitnah kubur ialah ujian yang pertama dihadapi oleh manusia setelah dia meninggal. Soalan yang pertama daripada malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT ialah “Siapa Tuhan yang mentadbir, mencipta serta mengendalikan segala urusan.”

‘Rab’ dengan makna Tuhan yang mencipta dan Tuhan yang mengendalikan serta mentadbir segala urusan dan Tuhan yang layak disembah.

Menjadi satu hikmat yang besar para malaikat bertanya: “Ma Rabbuk?” yang bermaksud siapa Tuhan yang mencipta dan mengendalikan segala urusan kamu?

Seseorang yang beriman dengan iman yang benar diilhamkan oleh Allah SWT dapat melepaskan diri daripada soalan-soalan tersebut. Manakala orang yang tidak beriman dan tidak yakin akan menjawab dengan apa yang dia yakini di atas muka bumi ini. Disebut di dalam satu hadith mereka tidak dapat menjawab soalan berkenaan. Ada yang menjawab: “Oleh kerana orang ramai yang mengatakan Allah itu ada, saya pun ikut kata seperti orang ramai.”

Dia menjawab bukan dengan keyakinan dirinya sendiri. Ini adalah contoh ujian. Yang menjadi hujjah ialah iman dan amal yang soleh.

Kemudian manusia akan dihidupkan oleh Allah SWT. Allah SWT menunjukkan bagaimana contoh kekuasaan untuk menghidupkan bumi yang mati dan binatang yang mati. Kita melihat bagaimana binatang yang mati, keluar ulat-ulat yang hidup.

Selepas itu bumi yang mati, rumput yang kering dibakar hangus menjadi abu apabila turun hujan, ia akan tumbuh semula. Kita melihat bagaimana benih yang kecil boleh menumbuhkan pokok yang besar.

Ini adalah dalil-dalil kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan di hadapan kita. Begitulah kamu akan dihidupkan dan akan dipersoalkan oleh Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kemudian kamu dikembalikan kepadanya (dalam keadaan kamu tidak tahu apa yang dinantikan).” (al-Baqarah: 28)

Perkataan ‘Turja’un’ mengikut nahu bahasa Arab ialah Mabniyyil majhul yakni suatu perkataan yang menjadikan seseorang itu tidak tahu apakah nasibnya yang akan berlaku. Apakah nasibnya ke syurga atau ke neraka, terpulanglah kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

Video bacaan Al Quran

fb

Total Pageviews

Ingatlah kata kata ku

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
"...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

Kata kata Ku

Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

TRAFFIC

Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

Assalammualaikum