Bayangkan jika tanpa cinta Allah kepada hamba-hambaNya, mungkin sudah digantikan kita dengan umat yang baru kerana betapa kadang-kadang ingkarnya kita kepada suruhanNya dan banyaknya kerosakan pada bumi yang kita lakukan. Kalau tidak kerana cinta Rasulullah SAW kepada umatnya , maka tidak dapatlah kita hidup dalam suasana Islam seperti hari ini.
Apatah lagi jika tiadanya cinta daripada ibu bapa kita, maka tidaklah kita membesar sesihat dan secantik seperti hari ini.
Tidak lupa juga akan rasa cinta yang Allah berikan kepada sepasang lelaki dan perempuan yang mungkin tertarik sesama sendiri atas faktor-faktor tertentu.
Tetapi fitrah suci ini kadang-kadang disalah ertikan oleh pasangan-pasangan yang belum bernikah untuk menyalurkan rasa cinta itu dengan cara yang dipilih oleh mereka sendiri.Lagi parah apabila gejala ini berlaku dikalangan pelajar tidak kira di sekolah menengah atau di IPT.
Mereka lebih selesa untuk bercouple bertahun-tahun lamanya kerana katanya tidak bersedia dan tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga lagi. Bila ditanya kenapa bercinta jika begitu? Yang dijawapnya adalah kerana sudah jatuh cinta.
Ketika menghadiri sebuah seminar bertajuk ‘Menuju Cinta Berpaksikan Wahyu’ baru-baru ini, saya amat tertarik dengan petua yang diberikan oleh penceramah berkaitan dengan cara mengatasi jatuh cinta tidak kena masa.
1) Jangan jadikan jatuh cinta sebagai pilihan
Jatuh cinta tidaklah salah tetapi apabila anda tidak bersedia untuk menempuh alam rumah tangga dan masih tidak berkemampuan, mengapa perlu hati disesakkan dengan satu lagi cinta? Lebih-lebih lagi ditujukan bagi adik-adik yang masih belajar di peringkat sekolah dan yang baru melangkah ke IPT. Rumah tanga tidak akan bahagia jika hanya ada cinta sahaja. Tuntutlah ilmu-ilmu berkaitan terlebih dahulu dan dalami ilmu agama. Belajar memikul tanggungjawab dengan melakukan tugasan-tugasan rumah. Bak kata penceramah di seminar, belajar mencintai dan menghargai teman-teman sejantina dahulu.
2) Menjaga pandangan mata
Hal ini telah disebutkan Allah didalam Al-Quran didalam surah an-nur
Dan katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangannya…Pandangan mata seharusnya bukan sahaja dijaga di alam realiti walhal di alam maya sekalipun. Seorang mukmin tidak sewenang-wenangnya melihat-melihat gambar yang berlainan jantina sesuka hatinya sehingga mampu merosakkan hati.
Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya…
An-Nur :30 dan 31
Bukanlah bermakna,apabila sudah bersedia untuk berumah tangga,maka pandangan mata tidak perlu lagi dijaga. Tetapi menjaga pandangan mata adalah lebih kepada usaha untuk menjaga hati dan diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang tidak diredhai Allah. Bak kata orang tua-tua dari mata jatuh ke hati.
3) Takutkan Allah
Tidak dapat disangkal lagi bahawa poin ini merupakan petua yang paling terjamin daripada terjebak dengan hal-hal yang Allah murka. Seorang hamba yang sentiasa sedar bahawa dirinya setiasa dilihat dan dipantau oleh Allah akan merasa gerun untuk melakukan sesuatu yang Allah tidak redha. Inilah yang dikatakan sebagai ihsan.
Rasululah SAW apabila ditanya apakah ihsan,baginda menjawap,
Kamu beribadah seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak melihat Allah, ketahuilah bahawa Allah melihat kamu.Jadi,bagi yang masih belum terjebak dan tidak bersedia, sama-samalah kita perbaiki diri terlebih dahulu. Ramai diantara kita yang ingin bercinta,tetapi tiada ilmu tentang cinta. Maka pelajarilah ia dahulu. Dan belajarlah untuk mencintai Allah terlebih dahulu,maka inshaAllah suatu hari nanti akan Allah kurniakan seseorang yang mencintaiNya untuk mencintai kita hanya keranaNya.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment