Mari kita Berkawan

September 30, 2010

Tutup aurat bukan sekadar bertudung sahaja

SOALAN : MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib
tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana
yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen
seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. Bolehkah ustaz
memberikan nas-nas dari al-Quran ataupun rujukan hadis yang
menjelaskan balasan bagi wanita Islam yang tidak menutup aurat.

JAWAPAN : DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan
makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan
serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3,
hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam
menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan
ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang
pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi
tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.

Kumpulan pertama menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa
itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat
itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini
mutakhir ini cukup banyak.

Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi
memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam.
Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama
potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.

Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup
aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik
tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya
suatu yang dangkal.

Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya
yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik… Kenapa
tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia
dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan
agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada
aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang
berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya
nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu
manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik,
rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang
menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya
tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.

Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula
jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang
memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti,
tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu.
Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti
makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu
dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan,
tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar,
suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh
manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di
rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang
dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan
Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu)
hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan
diri kamu - Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj
wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas
kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan
segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld:
3, hlm: 482-483).

Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita
menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki
ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)

Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di
zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab
perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi
masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.

Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan
hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan
bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus
dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya.
Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang
mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu
sebersih-bersihnya.

Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna
sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher
mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini
dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja
perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa
sebarang bantahan dan alasan.

Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia
dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada
perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan
syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada
perintah Allah SWT.

Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita
zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan
sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan
kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman
jahiliah.

Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an,
perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar
suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua
orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan,
buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah,
kanak-kanak hilang dan sebagainya?

Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala
macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah
dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.

Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula
sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada
Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan
kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa
melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.

Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan
kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung
saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk
tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan
perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah

No comments:

Post a Comment

HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

Video bacaan Al Quran

fb

Total Pageviews

Ingatlah kata kata ku

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
"...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

Kata kata Ku

Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

TRAFFIC

Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

Assalammualaikum