Mari kita Berkawan

March 22, 2010

Sifat Amanah

ANTARA sifat terpuji ialah amanah dan ia satu daripada sifat Nabi s.a.w. Orang yang bersifat amanah akan disanjungi, dipuji, dihormati, disegani dan didekati, malah menjadi tempat mendapatkan kepercayaan dalam segala urusan.

Ia sifat yang sangat dituntut ke atas setiap manusia kerana dengan amanah kehidupan mempunyai sistem dan disiplin, hak keluarga seperti anak, isteri dan ibu bapa terbela, bahkan menjamin kerukunan masyarakat dan kestabilan negara.


Berbeza dengan sifat sebaliknya iaitu khianat, yang amat bertentangan dengan amanah. Sekiranya orang yang bersifat amanah dikasihi, orang khianat pula akan dibenci, dicaci dan dihindari kerana khianat membawa kerosakan.

Amanah ialah setiap yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya yang berhak. Pengertian ini memungkinkan daerahnya yang luas, meliputi semua hubungan. Mematuhi adalah iman dan menghayatinya dengan segala yang diperlukan supaya semakin subur dan tetap subur adalah amanah.

Ikhlas dalam ibadat kerana Allah amanah, melakukan ihsan kepada orang perseorangan atau masyarakat adalah amanah, memberikan hak kepada yang berhak juga amanah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya...” (al-Ahzab: 72)

Orang yang tiada sifat amanah atau hilang amanahnya akan mengakibatkan kerugian, kejahatan dan kemusnahan.

Bagi individu yang tiada amanah, dirinya tidak akan berdisiplin, malah hidupnya tiada hala tuju, hanya mengikut kata hati dan bertindak sesedap rasa, menunggu peluang khianat pada diri sendiri, sehingga kerap kelam-kabut dan akhirnya gundah-gulana.

Justeru, Islam memerintahkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah dan sentiasa mengamalkannya pada setiap masa, kerana ia sifat yang menguntungkan banyak pihak, sama ada pada diri, keluarga, masyarakat atau negara.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (an-Nisa':58)

Amanah walaupun ia satu perkataan yang mudah diungkapkan dan dimengertikan banyak pihak, malah pelajar sekolah dapat memahami dan tahu menilainya, tetapi pada hakikatnya ia suatu sifat yang sukar diamalkan dan sukar melekat di dalam diri.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada pelajar yang sewenang-wenangnya melanggar disiplin sekolah, ponteng dan membazir wang diberi untuk membeli rokok - kerana tiada amanah di dalam diri, menjadikan mereka khianat terhadap ibu bapa, walaupun mereka tahu mengenai sifat itu.

Umumnya, tidak ada yang tidak tahu mengenai sifat amanah, cuma dalam mengamalkannya dalam kehidupan seharian tidak sepenuhnya, malah ada yang bersikap acuh tak acuh dan berlagak alim kucing, di depan orang baik, di belakang orang sebaliknya.

Dari Saidina Ali r.a katanya yang bermaksud: “Kami duduk bersama Rasulullah s.a.w lalu muncul seorang dari keluarga al-Aliyah dan bertanya kepada Rasulullah...wahai Rasulullah beritahulah pada aku, apakah suatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang paling ringan?”

Lalu jawab Rasulullah s.a.w: “Yang paling ringan dan mudah ialah mengucapkan dua kalimah syahadah dan yang paling berat wahai saudari al-Aliyah ialah amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tiada amanah, tiada solat baginya dan tiada zakat.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Hadis di atas menjelaskan mengenai nilai sifat amanah di dalam ajaran agama yang sangat beharga, namun ia lebih susah untuk dilakukan berbanding ibadat yang lain.

Imam Muslim meriwayatkan “dari Abi Dharr r.a katanya: Aku bertanya; wahai Rasulullah engkau melantik aku sebagai wakil pemerintah.

Lalu Rasulullah menepuk bahuku, kemudian bersabda; wahai Abu Dharr, sesungguhnya engkau lemah dan tugas itu adalah amanah dan di hari kiamat kelak adalah kehinaan dan penyesalan melainkan mereka yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan apa yang wajib ke atasnya dalam amanah terbabit.”

Pendek kata amanah diperlukan dalam semua perkara, termasuk pemerintahan dan pentadbiran, dengan menghindari pilih kasih dan pengaruh keluarga, supaya natijah kebaikan yang diusahakan akan terhasil, sebagaimana difahami daripada hadis di bawah.

Dari Yazid bin Sufyan; katanya: Saidina Abu Bakar r.a berkata padaku ketika aku diutuskan menjadi penyusun pemerintah di Syam (Syria). Wahai Yazid engkau ada hubungan kekeluargaan yang mungkin akan terpengaruh dengan pemerintahan. Itulah yang aku bimbangkan mengenai dirimu selepas Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang dilantik menjalankan sesuatu urusan umat Islam, lalu ia melantik seseorang kerana pilih kasih, maka laknat Allah ke atasnya. Tidak diterima amalan fardu dan sunatnya sehingga dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Menyimpan rahsia juga termasuk daerah amanah, seperti menjaga hak sahabat. Jika hal ini dianggap tidak penting, lalu membuka rahsia orang sehingga boleh memberikan mudarat kepadanya sudah tentu perbuatan itu haram dan tercela.

Amanah menuntut supaya kita merahsiakan sekalipun terpaksa berbohong, kerana berkata benar itu bukannya wajib secara mutlak pada setiap semua keadaan dan tempat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Semua majlis itu amanah melainkan tiga majlis saja; (iaitu) majlis kerana merancang pembunuhan ditegah (dilarang), majlis seks yang dilarang dan majlis perancangan mengambil harta tanpa hak.”

No comments:

Post a Comment

HaNyA 30 JaM SuDaH PaNdAi MeMbAcA AL QURAN

Video bacaan Al Quran

fb

Total Pageviews

Ingatlah kata kata ku

Lihatlah di sekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu; sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus harapan, senyum yang kau berikan dan air mata yang kau titiskan, simpan…jadikan tauladan; segala yang kau pandang dan dengar, simpan…buat pedoman
"...segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t, manakala kekurangan itu adalah kerana kelemahan diri ini sendiri... semoga kita sama-sama mendapat keberkatan dan keampunan daripada-Nya... Amin..."

Kata kata Ku

Aku faham bahawa dosa itu menghancurkan. Dosa menghancurkan harta, masa. aqal, hati, tenaga, keluarga dan segala-galanya. Hanya kerana sedikit keseronokan, manusia masih memilih untuk melakukan dosa walaupun kesan buruknya sangat besar sekali. Kenapa aku masih berdegil memilih dosa? Ntah berapa kali penyelesalan, kau masih melakukannya. Ya Allah, pimpinlah hambamu ini.
Aku tidak berdaya memimpin diriku ke jalan Mu tanpa pimpinanMu. Hanya kepadaMu, ku pohon doa.
"Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dengan taat dan amal soleh, Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan Nama Tuhannya serta mengerjakan solat. Tetapi kebanyakan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan Akhirat lebih baik dan lebih kekal."- (Al-A`laa 14 - 17)

TRAFFIC

Get High Quality Traffic with LogiTRAFFIC

Assalammualaikum